Sunday, February 15, 2009

Antara Alasan Dan Realiti

Pembangunan sukan di peringkat sekolah dewasa ini kian terbantut disebabkan oleh beberapa faktor termasuk soal kewangan. Tanpa peruntukan yang mencukupi sudah tentu perancangan yang telah diatur akan menemui kepincangan atau seterusnya kegagalan. Pembangunan sukan di sekolah banyak bergantung kepada yuran sekolah yang dibayar oleh ibu bapa. Walaupun pada tahun 2009, perkara ini telah merumitkan pengurusan sukan di sekolah namun kebijaksanaan pentadbir sekolah mampu keluar dari kemelut tersebut, namun satu isu lain yang tidak harus dipandang ringan ialah semangat pelajar.
Pelajar yang menyertai sukan seolah-olah dipaksa bukannya dengan rela untuk bersukan dan seterusnya bertanding atas tiket sekolah masing-masing. Sebahagian besar penglibatan pelajar dalam sukan terdiri perlajar yang sama. Sebagai contoh, pelajar A akan mewakili sekolah dalam pertandingan bola jaring, bola baling, dan pelbagai jenis sukan lain kerana beliau sahaja yang menawar diri untuk dilakukan pemilihan dan seterusnya berjaya menjadi pemain sekolah dalam kejohanan tertentu kerana tidak ramai pelajar yang sanggup berbuat demikian. Dalam kejohanan atau pertandingan yang lain pula pelajar ini juga yang akan tampil untuk diuji dan seterusnya layak untuk mewakili sekolah.
Senarionya , tiada ramai pelajar yang sanggup turun padang, bertungkus lumus berlatih dan seterusnya bersusah payah dalam mengharumkan nama sekolah. Lebih malang lagi ada sebilangan pelajar yang bersukan di luar kawasan sekolah (seperti dengan kelab-kelab tertentu) begitu menonjol sekali tetapi bila diminta untuk menyertai pasukan sekolah, pelawaan itu diperlekehkan. Seterusnya keadaan ini lebih meruncing bila sebilangan besar pelajar mula mempunyai pekerjaan sambilan di luar selepas waktu persekolohan. Dengan pendapatan harian yang agak lumayan, sudah tentu mereka ini akan mula meninggalkan dunia sukan untuk mengejar apa yang sepatutnya dikejar dalam dunia remaja. Walaupun sebelum ini mereka begitu menonjol dalam sukan tetapi tuntutan dunia kini telah menidakkan mereka dari menceburi atau mewakili sekolah.
Bagaimanakah situasi ini dapat meningkatkan mutu sukan di negara kita secara amnya?

No comments: